Keputusan seri ketika perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Malaysia nyata memberi impak besar terhadap skuad kebangsaan China.

Baru-baru ini, salah seorang penolong jurulatih China iaitu Zheng Zhi dilihat hampir bergaduh dengan penyokong yang hadir ke stadium dimana mereka kecewa pasukan tuan rumah gagal meraih kemenangan menentang pasukan yang berada di bawah mereka dalam ranking FIFA.

Zheng Zhi merupakan bekas pemain yang kini dipilih untuk menjadi sebahagian daripada staf kejurulatihan China dan beliau nyata berang dengan kritikan serta tohmahan yang dilemparkan oleh penyokong di stadium.

Sebelum ini, peminat China yang hadir ke stadium meminta wang mereka dikembalikan selepas hanya mampu seri 1-1 ketika menentang Malaysia.

Selepas keputusan seri diumumkan di dalam stadium, peminat terus mengecam prestasi yang ditampilkan oleh pemain seterusnya mahu wang tiket mereka dikembalikan.

Pada perlawanan yang berlangsung di Kompleks Sukan Phoenix Hill, Chengdu pada Sabtu lalu, Faisal Halim menjaringkan gol bagi pasukan negara manakala gol China dijaringkan oleh Lin Liangming.

Selepas mencatat dua keputusan seri pada perlawanan jendela FIFA kali ini, ketua jurulatih skuad kebangsaan iaitu Kim Pan-gon yakin Malaysia mampu untuk memperbaiki kedudukan ranking FIFA.

“Menang atau kalah itu tidak penting, prestasi kami adalah yang paling penting. Sasaran kita sudah ada, kita cuba mencipta satu lagi sejarah untuk berusaha berada pada ranking lebih tinggi pada masa hadapan,” katanya. pada sidang media selepas perlawanan.